Bangun sahur

Kadang-kadang (mungkin juga selalu) rasa berat nak bangun sahur, malas. Telinga dengar orang memanggil, mulut menyahut, badan tangan kaki bergerak beri respon, tapi kelopak mata yang tidaklah besar mana tak mampu dibuka. Letih, mengantuk.

"Bangun, sahur."
"Ya, ya..."
"Bangunlah, nanti terlepas pula."
"Ya... Tahu."
"Dari tadi ya... ya... bangunnya tidak."
"Ya, kan tengah duduk ni. Dah bangunlah ni."
"Bangun apanya kalau mata terpejam rapat. Kejap lagi rebah baliklah tu."
"Hmm? Tadi dah buka mata."
"Habis tu kenapa terpejam balik?"
"Rasanya macam ada orang sengaja letak gam kat mata ni, tak bagi bangun sahur. Dengki."
"Takde siapa yang nak dengki. Sudah, bangun cepat! Banyak pula alasan."
"Tak boleh buka. Macam mana nak buat ni? Nak kena sambung tidur ke?"
"Jangan dilayan mata tu! Bangun, cepat!"

Jika diikutkan, mahu saja sambung tidur... rehat secukupnya, buat apa susah-susah bangun, masa tidur makin kurang nanti. Bukan ke rugi nanti? Sahur itu tidak wajib, sunat sahaja. Boleh sahaja berpuasa jika tidak bersahur. Tapi bila difikirkan yang amalan bersahur itu sangat digalakkan bagi orang yang berpuasa, kuatkan juga untuk bangun. Sebenarnya lebih rugi jika tidak bangun sahur. Sahur itu banyak hikmahnya. Kalau tidak larat sangat minum air pun jadilah, bukan susah pun... itupun dikira bersahur, dapat juga pahala. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Makanlah sahur, walaupun dengan seteguk air." (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Rasulullah s.a.w juga ada bersabda yang maksudnya:
"Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat." (HR. Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah).

Ada keberkatan pada sahur itu. Dan keberkatan tu membawa makna rahmat, kebaikan dan restu Ilahi. Dengan bersahur boleh dapat restu Ilahi, alangkah ruginya kalau tak rebut peluang ni.

Dari Abdullah bin Al-Harith dari seorang sahabat Rasulullah s.a.w: Aku masuk menemui Nabi s.a.w ketika dia makan sahur, baginda bersabda, "Sesungguhnya makan sahur adalah berkah yang Allah berikan pada kalian maka janganlah kalian tinggalkan." (HR. An-Nasaa`i dan Ahmad).

Lagi pula dengan bersahur para malaikat mendoakan kita. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredhaan) ke atas orang yang bersahur." (HR. At-Tabbani).

Selain itu, amalan bersahur juga membezakan di antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (Ahli Kitab). Allah mewajibkan puasa kepada kita sebagaimana Allah telah mewajibkan kepada orang-orang sebelum kita dari kalangan Ahli Kitab, Allah S.W.T berfirman (yang ertinya):
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah, 2: 183)

Kita berpuasa, ahli kitab juga berpuasa. Apa bezanya puasa kita dengan puasa mereka? SAHUR. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:
"Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur."


*Nota ringkas yang perlu diingat ketika rasa susah dan malas bersahur:
-Bangun sahur, dapat keberkatan. Tak bangun? Entah bilalah boleh dapat.
-Minum air pun dikira bersahur, dapat pahala.
-Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang bersahur.
-Sahur membezakan puasa Ahli Kitab dengan puasa orang Islam.
-Sahur meringankan beban perut lapar.
-Sahur sunnah Nabi, Nabi pun bersahur.

**Lagi nota:
HR = Hadis riwayat

Post a Comment

0 Comments